KENYATAAN MEDIA : PEMANTAUAN IKLAN SECARA DALAM TALIAN TAHUN 2024
CYBERJAYA, 3 JUN 2025 – Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) komited dalam memastikan iklan peranti perubatan yang dipaparkan kepada orang awam mematuhi peraturan yang ditetapkan demi melindungi keselamatan dan kesejahteraan pengguna.
MDA melalui Unit Pemantauan telah menjalankan pemantauan iklan peranti perubatan secara proaktif di semua platform e-dagang termasuklah Facebook, Instagram, Shopee, Lazada, Tiktok dan Grabmart. Pemantauan ini dijalankan bagi memastikan hanya peranti perubatan yang telah berdaftar dengan MDA sahaja diiklankan dan dijual kepada orang awam secara dalam talian.
Carta 1: Pemantauan Iklan 2024
Berdasarkan pemantauan yang dijalankan pada tahun 2024, didapati 65 peratus peranti perubatan tidak berdaftar yang diiklankan di platform e-dagang. Kategori peranti perubatan tidak berdaftar yang paling banyak diiklankan adalah peranti untuk kegunaan umum seperti kanta lekap, kondom, oksimeter, alat pengukur tekanan darah, dan tampalan jerawat (acne patch).
MDA juga giat menjalankan libat urus dengan agensi-agensi kerajaan dan juga pengendali platform e-dagang untuk mengekang pengiklanan peranti perubatan tidak berdaftar daripada berleluasa. Tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati mengiklankan peranti perubatan yang tidak berdaftar.
Sehubungan dengan itu, MDA ingin menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada ketika membeli peranti perubatan secara dalam talian. Pastikan peranti perubatan yang dibeli mempunyai nombor pendaftaran yang sah dan elakkan daripada membeli peranti perubatan yang tidak diketahui status keselamatannya. Semakan terhadap status pendaftaran peranti perubatan boleh dibuat melalui sistem carian MDA di https://mdar.mda.gov.my.
Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat atau aduan berhubung dengan aktiviti pengiklanan peranti perubatan yang tidak berdaftar secara dalam talian, anda boleh melaporkan kepada pihak MDA beserta butiran yang lengkap dan tepat melalui MDA Feedback Management System (FEMES) di https://femes.mda.gov.my/.
DR. MURALITHARAN PARAMASUA
Ketua Eksekutif
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan
Medical Device Authority Malaysia (MDA)
3 Jun 2025
Untuk paparan PDF sila klik di pautan yang berikut : PEMANTAUAN IKLAN SECARA DALAM TALIAN TAHUN 2024