PENGEDARAN PENUTUP MULUT DAN HIDUNG SEMASA PENULARAN WABAK PENYAKIT AKIBAT JANGKITAN NOVEL CORONAVIRUS 2019 (COVID 19)

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan mengambil maklum mengenai penularan wabak penyakit akibat jangkitan Novel Coronavirus 2019 (Covid 19) di Malaysia dan seluruh dunia. Susulan daripada itu, WHO dan Kementerian Kesihatan telah menggalakkan penutup mulut dan hidung (face mask) sebagai langkah pencegahan kepada jangkitan tersebut. Untuk makluman, penutup mulut dan hidung (face mask) yang digunakan untuk mencegah jangkitan kuman di antara pesakit dan pekerja kesihatan adalah peranti perubatan. Oleh yang demikian, penutup mulut dan hidung hendaklah didaftarkan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) bagi mengesahkan ianya selamat dan berkesan.

Walau bagaimanapun, bagi memastikan capaian penutup mulut dan hidung tidak terganggu semasa penularan wabak penyakit akibat jangkitan Novel Coronavirus 2019 (Covid 19), mana-mana syarikat atau establismen boleh membuat notifikasi untuk pengecualian daripada pendaftaran bagi peletakan penutup mulut dan hidung di pasaran melalui akses khas (special access). Pihak syarikat atau establismen hendaklah memastikan peranti tersebut telah menjalani pelbagai ujian untuk memastikan ianya menjalankan fungsinya seperti yang diniatkan oleh pembuat. Mana-mana penutup mulut dan hidung telah yang memperolehi pengecualian ini, pengiklanan peranti tersebut tidak dibenarkan sama sekali dan penjualan hendaklah dibuat secara lansung ke premis-premis kesihatan atau farmasi-farmasi yang telah dibenarkan.

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan sedang memantau pengiklanan, pengedaran dan penjualan penutup mulut dan hidung di pasaran termasuk penjualan dan pengedaran melalui platfom membeli belah secara dalam talian seperti Lazada, Shoppee dan lain-lain bagi memastikan penutup mulut dan hidung yang berada di pasaran adalah yang selamat dan berkesan untuk digunakan. Orang ramai dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan bagi melindungi dan mencegah diri daripada jangkitan Novel Coronavirus 2019 (Covid 19). Status pendaftaran penutup mulut dan hidung boleh disemak melalui URL, https://mmdr.mda.gov.my/public/index.php atau menghubungi Pihak Berkuasa melalui talian 03- 82300300 atau email, mdb@mda.gov.my.

Print